Friday, 5 December 2014

Kedudukan dan Peranan Wanita Sebelum dan Selepas Islam



 


Kedudukan  dan peranan wanita sebelum kedatangan Islam.
Wanita sebelum zaman Rasulullah S.A.W  dianggap sebagai hamba, harta peribadi dan dikatakan mempunyai sifat-sifat lebih rendah dari lelaki. Kedudukan wanita tidak terbela dan tidak diberi hak sewajarnya serta nilai dan  maruah wanita dianggap rendah.

Wanita semasa zaman Arab Jahiliyah.
Wanita dianggap hina. Suami bagi wanita yang hamil anak perempuan akan terlebih dahulu membuat persediaan menggali lubang untuk menguburkan anak perempuan mereka hidup-hidup untuk mengelakkan mendapat malu dan menanggung bebanan hidup dan kemiskinan di kemudian hari. Amalan membunuh anak perempuan hidup-hidup bagi Arab Jahiliyah adalah suatu kebaikan dan anak lelaki adalah satu kebanggaan dan kegembiraan.

Wanita mengikut undang-undang negara lain.

  1.     Undang-undang Greek.
  •  
  • \Wanita tidak diberi sebarang keistimewaan. Wanita dikurung dalam rumah, tidak diberi peluang belajar, kerana menganggap wanita hanya layak menguruskan rumah tangga sahaja. Wanita juga boleh dijual beli di pasar seperti binatang dan barang dagangan, mereka tiada hak untuk membantah, kecuali diberikan makan, minum, pakaian dan tempat tinggal.
  2.   Zaman Yunani.
  •  
  • Wanita dipandang sebagai makhluk yang rendah, hina dan tidak berharga, dan dijadikan pemuas nafsu lelaki. Masyarakat Yunani juga menganggap wanita sebagai komoditi dagangan yang tidak berhak mendapat harta pusaka dan pendidikan. Abu al-A’la al-Maududi dalam bukunya al-Hijab menyatakan, masyarakat Yunani menganggap wanita sebagai sumber maksiat, sumber keburukan dan kejahatan. Bagi pihak lelaki masyarakat Yunani, wanita dianggap sebagai salah satu pintu neraka kerana wanitalah yang menggerakkan lelaki melakukan dosa dan menjadi penyebab manusia menerima musibah. Masyarakat ini berpandangan wanita sepatutnya menyesal dan malu kerana dilahirkan sebagai wanita dan wanita berparas cantik sepatutnya malu dengan kecantikannya kerana ia merupakan senjata iblis. Wanita harus menebus dosa selama hidupnya kerana mendatangkan bencana dan kesengsaraan manusia di muka bumi.

        3. Zaman tamadun Romawi.
  •  
  • Kaum wanita ketika remaja dikongkong di bawah penguasaan penjaganya, samada bapa, datuk dan sebagainya yang berkuasa mutlak dan tidak dihadkan kekuasaanya. Penjaga boleh menghalau wanita keluar dari rumah atau menjualnya dan tiada pembelaan undang-undang ke atas golongan wanita ini. Apabila wanita berkahwin, maka putuslah hubungan keluarga dan kaum kerabatnya dan suaminya pula berhak menentukan corak kehidupan wanita.
    4.Zaman Mesir kuno.
  •  
  • Gadis-gadis sentiasa menjadi korban kerana ketika itu masyarakat mempunyai keyakinan bahawa sungai Nil dikuasai oleh dewa yang sentiasa inginkan persembahan seorang gadis. Jika tiada korban gadis, sungai Nil tidak akan memberi manfaat atau faedahnya kepada petani-petani Mesir. Berbanding tamadun lain, masyarakat Mesir ketika itu dikatakan lebih baik kerana memberi sedikit penghormatan kepada wanita dalam hak memilik harta, bekerja dalam kebanyakan sektor ekonomi, melibatkan diri dalam masyarakat dan bercampur dengan lelaki. 


Kedudukan dan peranan wanita selepas Islam.

Kedatangan Islam telah merubah segala penghinaan, penindasan dan kezaliman yang dilakukan kepada kaum wanita. Islam telah mengangkat martabat wanita, mengembalikan kedudukannya, dimuliakan, dikembalikan haknya yang telah dirampas dan diiktiraf oleh lelaki dalam kehidupan. Wanita juga diberikan kedudukan yang sama sebagai individu dalam masyarakat. Menurut Islam yang membezakan manusia bukan lelaki atau wanita, tetapi ketakwaan kepada Allah Taala adalah pengukurnya seperti firman Allah:

       ” Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenal”  - Surah al-Hujurat, 49:13

Islam meletakkan wanita dalam tiga kategori penting mengikut keupayaannya iaitu sebagai ibu, isteri dan anak perempuan. Ibu diletakkan di tempat paling tinggi selepas Allah dan RasulNya.

Peranan dan Fungsi Kaum Wanita di Malaysia

        Dalam masyarakat traditional, peranan kaum wanita adalah terhad kepada peranan pembantu kepada kaum lelaki. Ini dapat dilihat daripada jenis-jenis tugas yang mereka lakukan, umpamanya peranan mereka dalam pekerjaan sawah adalah untuk membantu suami mereka seperti menyemai, mengubah dan menuai. Dalam bidang politik dan pemerintahan status kaum wanita telah bertambah baik dan jika dilihat dalam perkembangan status mereka sama tinggi dengan lelaki. Ini dapat dilihat apabila kaum wanita diberikan hak mengundi seawal-awal usia penubuhan negara kita ini.
           
          Dalam bidang ekonomi, adalah bidang yang sudah diterokai oleh kaum wanita dan di mana kaum lelaki agak bersikap liberal dalam membuka pintu kepada kemasukan dan penyertaan wanita. Pada masa dahulu peranan dan fungsi kaum wanita dalam bidang ini amat terbatas. Jumlah wanita yang bekerja dalam perkhidmatan kerajaan mahupun swasta semakin bertambah dan begitu juga pembahagian pendapatan. Walaupun jumlah pekerja-pekerja wanita ramai, hampir keseluruhannya termasuk pada peringkat pekerja-pekerja kurang mahir mendapat jumlah gaji yang kecil sahaja.


 Kesimpulan
 
Pada keseluruhannya, perjuangan wanita untuk membela nasib kaum sejenis dan memainkan peranan mereka dalam pembangunan negara masing-masing menampakkan kesan yang nyata, meskipun masih belum begitu cemerlang. Justeru itu kita harus ingat bahawa tanggapan ini harus dibuat secara positif dan rational. Kita tidak harus meletak wanita sebagai golongan lemah kerana mereka juga berkemampuan dan berkredibiliti. Peranan wanita sebagai isteri, ibu dan tidak kurang juga sebagai pemimpin perlu dititikberatkan. Usaha-usaha yang konsisten kearah meningkatkan tahap penglibatan wanita di dalam pasaran buruh, perniagaan dan di dalam politik perlu diperhalusi lebih mendalam oleh kerajaan.



Sumber :

   1) Dipetik dari: Che Zarrina Sa’ari dan Joni Tamkin Borhan (2006), Peranan Wanita Dalam Pengukuhan Akidah Umat Islam, Jurnal Usuluddin bil 23-24.Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, h. 36-40.

No comments:

Post a Comment